Rabu, 15 Februari 2012

PANGGIL AKU KIAH




PANGGIL AKU KIAH~Liza Nur
Penerbit: Buku Prima
Harga:  RM 18.90
Tarikh Terbit: 10 Feb 2012

Perbezaan darjat melalui kekayaan menyebabkan Kiah memandang rendah pada Hud, pekerja kesayangan papanya. Hud yang berkhidmat sebagai pemandu tidak pernah menurut kemahuan Kiah seperti pekerja-pekerja papa yang lain. Kejujuran Hud membuatkan Kiah membencinya.
Dalam tak disangka, Hud telah menjadi penyelamat maruah Kiah sewaktu hampir-hampir dinodai teman lelakinya, Reza. Hud juga yang menolong Kiah di saat dia dihalau keluar dari rumah oleh ibunya. Bermula dari detik itu, dia belajar erti kesusahan dan kemanusian yang selama ini tidak pernah menjengah ke dalam kotak fikirannya.
Adakah Kiah mencintai Hud? Mampukah si hidung tinggi seperti Kiah meninggalkan Prada dan Gucci yang sudah sebati dengan darahnya?

MAAFKAN ABANG






Maafkan Abang~Eyla Hime
Penerbit: Fajar Pakeer
Harga: RM22.00

Tengku Ariff Hazimi, lelaki yang telah berjaya menambat hati Atikah Hatrisya dalam diam. Namun, rasa itu sedikit pun tidak pernah diakui oleh Hatrisya. Bagi Hatrisya, rasa itu hanya rasa senang yang timbul terhadap Hazimi. Tidak lebih daripada itu. Tapi, Hatrisya lupa, dia bukan siapa-siapa yang boleh tentukan rasa itu apa. Ada yang lebih arif dalam segala hal. Dan saat Hatrisya menyedarinya, dia tahu ada kekurangan pada dirinya untuk digandingkan dengan Hazimi. Keputusan menjauhkan diri diambil Hatrisya, membuatkan Hazimi tertanya sendiri.
Jodoh. Biar sejauh mana menghindar, biar hati sudah diberikan kepada yang lain, jodoh tetap jodoh. Hatrisya dan Hazimi dipertemukan. Peluang ini diambil Hazimi untuk kembali rapat dengan Hatrisya. Namun, saat hubungan kembali pulih, ada satu perkara menimpa mereka berdua. Dan niat Hazimi untuk menjernihkan lagi perhubungan, telah menjadi api kebencian.
“Kenapa kau tak mampus aje dari dunia ni? Patutnya kau pergi jahanam sekali dengan ibu bapa kau masa kau sekolah dulu! Kaulah yang bawak sial kat dalam keluarga kami!”
Hatrisya mula membulatkan keputusan. Keputusan yang akan menentukan hala tujunya dan Hazimi. Dan tika ini, Hazimi mula sedar akan sesuatu. Hazimi mula mengejar bayang Hatrisya. Namun, dibiar sepi oleh Hatrisya.
Mampukah Hatrisya terus menidakkan perasaan yang dirasanya? Kejadian apa yang membuatkan Hazimi membenci Hatrisya? Mampukah Hatrisya menjayakan keputusan yang telah diambil? Berjayakah Hazimi melembutkan kembali hati Hatrisya? Apakah dengan kata maaf, keadaan akan kembali seperti sedia kala?

LEBIH KURANG




Lebih Kurang~Qaseh Qaisara
Penerbit: Fajar Pakeer
Harga: RM17.00

“Hidup siapa lagi orang nak susahkan kalau bukan hidup isteri orang…”
Mereka tinggal di rumah yang sama dan belajar di kolej yang sama. Namun kepala tak pernah sama. Zackhwan suka benar mencari pasal, Azrina pula mangsa utama.
“Kita dah jadi pasangan suami isteri di alam Facebook, jadi tak ada alasan untuk orang ceraikan awak. Orang betul sayangkan awak. Sayang sangat-sangat!”
Setiap kali terkena, Azrina hanya bersabar dan terus bersabar bersama perasaan benci yang membuak. Dia akan bertahan selagi boleh. Dari hari ke sehari, Azrina dapat menerima si wayar putus dengan perasaan senang. Tahulah Azrina, Zackhwan itu tidaklah senakal mana, hanya perangai semula jadinya yang suka melihat Azrina marah-marah. Comel sangat, kata Zackhwan.
Zackhwan pula sebenarnya bukan niat hendak mengena. Mungkin itulah caranya dia meluahkan kasih sayang terhadap Azrina. Kasih sayang yang berputik sejak mereka pernah bermain layang-layang bersama di zaman kanak-kanak. Semua kasih sayang itu Zackhwan simpan agar suatu hari menjadi kenyataan.
Namun cinta mereka hanya di alam kolej sajakah atau hingga ke akhirnya mereka akan bersama?

KAU, AKU KITA




Kau, Aku, Kita~Orkid Edyliyne
Penerbit: Fajar Pakeer
Harga: RM18.00


“Kau silaplah, bro... jangan nak perasan. Iman Firdaus tu, aku, bukan kau. Ke kau pun nama Iman Firdaus juga?”
Itulah permulaan dua Iman Firdaus. Seorang lelaki, seorang perempuan. Dua nama yang sama, manusia yang berbeza, boleh ke mereka hidup bersama? Tapi itulah yang jadi. Iman Firdaus aka Iman Aus, pelakon yang terkenal dan ada nama, tapi tak pula dikenali atau digilai Iman Firdaus aka Iman. Sebabnya mudah—rumah dia tak ada TV untuk dia kenal Iman Aus.
Tapi, Iman Aus si pelakon kegilaan ramai itu tiba-tiba buat idea gila dengan mengajak Iman kahwin.
Kahwin! Dah Iman terkejut, tambah terkejut pula Iman apabila Aus sanggup ‘berkahwin’ sama dengan lima adik lelakinya: Iman Adrian, Iman Fazril, Iman Haris, Iman Razif dan Iman Asri.
Lalu, bermulalah kisah dua Iman Firdaus, satu suami, satu isteri, hidup sebumbung dan bersama sebagai pasangan dalam dunia lakonan nyata. Sebab, Aus hendakkan isteri kerana daddy Aus nak dia kahwin manakala Iman berkahwin dengan Aus sebab Aus janji akan senangkan hidup adik-adiknya. Jadi, perkahwinan yang bermula dengan agenda yang sebab begini, akankah kekal untuk selamanya? Tambah bila ada syarat begini:
“Kalau aku dah jatuh cinta dengan kau, aku takkan ceraikan kau. Macam tu juga sebaliknya. Aku takkan lepaskan kau, kalau kau dah jatuh cinta dengan aku. Tapi kau janganlah melebih nak goda aku pula.”
Jadi, dua nama yang sama, manusia yang berbeza, boleh ke mereka hidup bersama? Dua Iman Firdaus ini, agaknya bolehkah hidup bersama?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...