RM26/29SS
Melihatkan Artini riang melayan Amalin, Nediesha senyum sahaja. Dia turut tercuit melihat keletah manja Amalin. Lucu melihat si kecil ketawa saat diagah.
“Kak Tini…..” panggil Nediesha pada kakaknya.
“Emmm…” Artini jawab dengan deheman lembut.
“Diesha teringin nak ada anak macam Amalin. Diesha nak lahirkan anak buat Rifqi.”
Artini tersentak. “Syhh! Diesha jangan cakap pasal Rifqi kat rumah nanti mama dengar. Kita kan di ruang tamu ni.”
“Mama di tingkat atas. Kat bilik home teater. Layan DVD dengan daddy.”
“Kenapa sampai berangan nak lahirkan anak buat Rifqi ni? Jauh nampaknya impian Diesha…”
“Kami dah declare.”
Terkedu si kakak tapi masih berlagak natural. “Bila?”
“Minggu lepas.”
“Diesha tak bertepuk sebelah tangan? Hemm..tapi berani pula Rifqi ni nak bercinta dengan anak jutawan.”
Nediesha kacip gigi. Berbahang hatinya dengan sindiran pedas Artini. “Kak Tini jangan mendabik dada dengan harta keluarga kita sehingga merendahkan orang lain. Rifqi tidak hina dengan sambut cinta Diesha. Dia telah buktikan yang dia bukan lelaki pengecut.”
“Diesha tengok Kak Tini ni sombong plus bongkak ke? Kak Tini cakap macam tu sebab Kak Tini yakin tak ke mana pun hubungan Diesha dengan dia. Kalau Diesha ingin tahu natijahnya naik atas beritahu mama sekarang,” cabar Artini keras.
Nediesha ketap bibir. “Kenapa dengan Kak Tini ni? Asyik bangkang, asyik bantah. Mengapa tak mahu sokong Diesha? Kalau begini gayanya Diesha serik nak kongsi cerita dengan akak.”
Tersilap percaturan Artini sedar keterlanjuran. Lupa dia akan nasihat suami supaya berlembut dengan adiknya. Nasihat biar berhemah. Lengan Nediesha diraih. Dielus lembut. “Maafkan Kak Tini. Bukan Kak Tini tak mahu fahami Diesha tapi Kak Tini takut kehilangan adik akak ni.”
Kolam mata Artini yang bergenang bintil jernih ditangkap bebola mata Nediesha. Kakaknya sebak tiba-tiba menimbulkan rawan di hatinya. “Kak Tini tak akan hilang Diesha meskipun Rifqi yang Diesha pilih untuk kemudikan hidup Diesha.”
“Diesha….kalau akak sudah terasa ngilu fikirkan cabaran yang perlu Diesha tempuh untuk bersama Rifqi manakan Kak Tini sanggup tengok Diesha menempuhnya sendiri di depan mata akak.”
“Kak Tini jangan biarkan Diesha jatuh tika melaluinya. Pimpin Diesha. Bantu Diesha jika Kak Tini nak lihat Diesha bahagia,” pinta Nediesha sarat dengan pengharapan.
Mereka berdua bersabung pandang. Artini tak mampu lawan sebak. Terngiang kembali kata-kata bapanya. ‘Ya…sebab daddy wali Diesha tapi jangan salahkan daddy andainya adik kamu tu akan kehilangan semuanya.’
Empangan matanya pecah. Hujan halus turun perlahan membanjiri pipi. Begitu juga Nediesha. Galau hatinya mendengar esakan kakak tercinta. Artini paut tubuh Nediesha ke dalam pelukan. Mereka berdakap erat disaksikan Amalin yang leka bermain permainannya.